Kedai Runcit Di Kuala Lumpur Tidak Lagi Dibenarkan Jual Minuman Keras Mulai 1 Oktober 2021

 had-umur-beli-arak-2Ketika ini, minuman keras masih boleh didapati di kedai runcit dan serbaneka. Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa semalam.

Berdasarkan garis panduan baharu itu, minuman keras yang memabukkan tidak lagi boleh dijual kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina mulai 1 Oktober 2021.

Difahamkan, premis-premis seperti yang disebut masih dibenarkan menjual bir setelah larangan berkuat kuasa, tetapi hanya dari jam 7 pagi hingga 9 malam dan perlu memastikan minuman beralkohol dipamer berasingan dari minuman lain serta mengunci ruang rak pameran selepas jam 9 malam.

Tidak hanya itu, pembeli mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun. Manakala pasar raya, hypermarket, hotel, bar, dan pub masih dibenarkan menjual minuman keras, tetapi perlu memastikan bahawa pelanggan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.

Malah, penguatkuasaan ini bertujuan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menetapkan had waktu minuman beralkohol yang boleh dijual mengikut jenis premis dengan pemohon atau pemegang lesen hanya untuk bukan Muslim.

Mungkin negeri lain akan mengikut jejak langkah DBKL untuk melarang penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka. Adakah anda bersetuju dengan kawalan penjualan minuman keras ini?

Comments